DUN Johor Lulus Enakmen Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor 2014 | NUSAJAYA: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sebentar tadi meluluskan Enakmen Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor 2014 selepas lebih tiga jam dibahaskan.
Rang Undang-Undang itu diluluskan selepas dibahaskan lebih tiga jam termasuk oleh lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu lima wakil kerajaan Barisan Nasional (BN) dan tiga wakil pembangkang, dengan masing-masing diperuntukkan masa kira-kira 10 minit.
Pembentangan rang undang-undang itu dilakukan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abd Latif Bandi, jam 2.30 petang.
Selepas dibahaskan, Speaker DUN, Tan Sri Mohamad Aziz meminta ahli dewan mengundi secara mengangkat tangan.
Enakmen itu disokong oleh semua 38 wakil rakyat BN, manakala semua 18 wakil pembangkang menolaknya.
Pagi ini, kerajaan negeri Johor membentangkan rang undang-undang baharu bagi menubuhkan Enakmen Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor 2014 (LPHJ) pada persidangan DUN yang sedang berlangsung.
Hasrat kerajaan negeri Johor itu sebelum ini mendapat kritikan dan tohmahan pelbagai pihak sebelum Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semalam dalam sidang DUN menyatakan bahawa terdapat pindaan fasal dalam rang undang-undang itu khususnya peruntukan yang menyentuh peranan raja.
Pindaan dilakukan selepas pihak berkuasa negeri mengambil kira tohmahan dan reaksi pelbagai pihak selain mahu memelihara sistem demokrasi raja berpelembagaan yang diamalkan selama ini - BH online
Follow @rossacalla