Senarai 5 Kementerian Yang Akan Dipanggil Isu Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 | Kuala Lumpur: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil lima kementerian dan beberapa agensi bagi memberi penjelasan berhubung pelbagai isu berbangkit dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 Siri I.
Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata ia membabitkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Dalam Negeri (KDN), manakala agensi kerajaan pula termasuk Jabatan Kerja Raya dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Kami juga minta penjelasan KWSP kerana Jabatan Audit mendapati prestasi pelaburan mereka meningkat setiap tahun dan PAC perlu lihat rancangan KWSP untuk mengurangkan risiko terutama membabitkan aktiviti pelaburan di luar negara,” katanya.
Ketirisan bayaran
Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat PAC berhubung laporan berkenaan di Parlimen semalam, beliau berkata, antara isu perlu diberi penjelasan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani termasuk projek pembangunan Empangan Paya Peda di Besut, Terengganu.
Katanya, projek bernilai RM343.55 juta diberi kepada sebuah syarikat secara rundingan terus itu gagal disiapkan mengikut jadual tahun lalu, manakala isu membabitkan Kementerian Kesihatan pula berkaitan perolehan aset, penyimpanan rekod, pengurusan program dan peralatan perubatan yang menyebabkan berlaku ketirisan dari segi bayaran.
“Kementerian Kerja Raya pula perlu memberi penjelasan mengenai pembinaan Kompleks Mahkamah Kuantan yang baharu, pengurusan pangkalan marin dan pembinaan Politeknik Banting di Selangor.
“KDN akan diminta menjelaskan isu pembelian kasut dan pakaian seragam RELA bernilai RM17 juta yang didapati melanggar syarat perolehan,” katanya.
Bagi Kementerian Pendidikan, ia diminta menjelaskan pencapaian fizikal dan prestasi kewangan bagi projek di bawah Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) di institusi pengajian tinggi awam yang membelanjakan peruntukan tinggi, namun tiada kertas kerja dikeluarkan.
“Mereka belanjakan RM300 juta dan mahu tambah peruntukan kepada lebih RM1 bilion.
Ini pembaziran dan contoh ketirisan, bukan rasuah kerana tiada yang pertikai tindakan mereka,” katanya - BH online.
Follow @rossacalla