Nor Hafizah Wanita Pertama Sebagai KBSJD Di Kelantan
BACHOK: Ketua Bahagian Siasatan Jenayah (KBSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok, ASP Nor Hafizah Nor Hamid, pada Sabtu menjadi wanita pertama memegang jawatan tersebut di negeri itu.
Ketua Polis Daerah Bachok DSP Abdul Hamid Che Ahmad berkata Nor Hafizah, 34, lulusan Sarjana Sains Forensik Universiti Sains Malaysia, sebelum ini bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah (Seksual dan Kanak-kanak) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.
"Nor Hafizah mengantikan ASP Mat Lias Abdullah yang dipindahkan ke IPKKelantan," katanya kepada pemberita pada Majlis Serah Terima Tugas berkenaan diIbu Pejabat Polis Daerah Bachok di sini, Sabtu.
Abdul Hamid berkata Nor Hafizah yang telah berkhidmat 10 tahun dalam pasukan polis diharap dapat mengekang kadar jenayah yang semakin meningkat di Bachok.
Beliau berkata, pada Januari hingga Febuari lepas, sebanyak 82 kes jenayah dilaporkan di daerah Bachok antaranya pecah rumah, dadah, curi motosikal dan bunuh.
Katanya bagi membendung peningkatan kes jenayah, Kementerian Dalam Negeri memilih IPD tersebut untuk bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia bagi menjalankan rondaan keselamatan, bermula pertengahan bulan ini.
"Anggota tentera dari kem Pengkalan Chepa, Kota Baharu akan bersama anggota kita (polis) melakukan rondaan pada siang hari dalam usaha memastikan ketenteraman dan keselamatan daerah ini ditingkatkan," katanya.
Sementara itu, Nor Hafizah berkata beliau bertekad untuk mengurangkan kadarjenayah di daerah tersebut.
"Saya memerlukan kerjasama dan bimbingan semua pihak termasuk ketua jabatan,rakan sekerja dan masyarakat bagi mencapat matlamat itu," katanya.-BERNAMA