GEORGE TOWN: Kerajaan bersetuju untuk menamakan Jambatan Kedua Pulau Pinang sebagai Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Sabtu malam.
Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.
"Kalau ada sebuah jambatan yang begini hebat dan orang akan sebut Jambatan Pulau Pinang Kedua, ia tak ada 'umph', tak signifikan...
"Semoga terbinanya jambatan ini dan dengan nama (Yang di-Pertuan Agong), Insya-Allah akan kekal abadi secara berpanjangan dalam lipatan sejarah Malaysia," katanya semasa berucap merasmikan jambatan itu di sini.
Sambil menyifatkannya sebagai detik yang amat bersejarah dan penting dalam perjalanan negara, Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa pengguna jambatan itu tidak akan dikenakan tol selama sebulan.
Percikan bunga api di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah pada majlis perasmian oleh Perdana Menteri pada Sabtu. Foto: GLENN GUAN/The Star |
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata jambatan itu bukan sahaja mercu tanda baharu negara tetapi juga mencetuskan pemangkin kepada proses pembangunan dan kerancakan ekonomi Pulau Pinang dan koridor utara.
Menurutnya laluan selatan dipilih bagi pembinaan jambatan kedua itu bagi membangunkan sekitar kawasan Nibong Tebal, Batu Kawan di bahagian seberang dan Balik Pulau di bahagian pulau serta limpahannya turut dapat dirasai oleh Kedah, Perlis dan utara Perak.
"Projek ini dicadangkan oleh (bekas perdana menteri) Tun Dr Mahathir (Mohamad) pada 1995 dan apabila Tun Abdullah (Ahmad Badawi) menjadi perdana menteri, beliau mempunyai dua pilihan laluan iaitu utara dan selatan, dan beliau membuat keputusan memilih cadangan laluan selatan," katanya.
Najib berkata walaupun berlaku peralihan kuasa pemerintahan di Pulau Pinang pada 2008, tetapi projek itu diteruskan kerana ia adalah untuk manfaat rakyat Pulau Pinang.
"...inilah semangat yang perlu kita pupuk, perlu ada cita-cita besar kepada Malaysia. Oleh itu, adalah penting walau apa pun fahaman politik kita, kita perlu utamakan pembangunan negara," kata Perdana Menteri.-BERNAMA