Perkahwinan Nokia Dan Android Dapat Restu CEO Baru Microsoft | Perkara yang mustahil akhirnya akan berlaku! Nokia dijangka akan menyediakan kemudahan kepada penggunanya memuat turun aplikasi Android terus dalam Windows Phone dalam tempoh kurang 24 jam setelah syarikat itu bersedia dengan para jurutera perisiannya yang berjaya menyiapkan platform tersebut lebih awal dari yang dijangkakan (sebelum ini, ia dijangka dilancarkan pada Mei 2014).
Lebih mengujakan, ia juga langkah pertama ketua pegawai eksekutif atau CEO baru Microsoft, Satya Nadella yang memberi lampu 'hijau' kepada peralihan terbesar dalam sejarah Microsoft bagi meningkatkan kuasa Windows Phone yang menjadi segmen kedua penting bagi syarikat itu pada masa depan.
Kini, segmen mudah alih Microsoft bakal melonjak ke tangga kedua selepas perisian bagi syarikat yang diasaskan Bill Gates tersebut.
Cakap-cakap tentang perkahwinan Windows Phone dan Android itu diperkuatkan lagi dengan laman Facebook Nokia yang merubah foto profilnya kepada warna hijau. Warna tersebut jelas dikaitkan dengan warna rasmi Android.
Bagi fasa awal, sebanyak 50 peratus aplikasi Android akan tersedia untuk platform Windows Phone yang melibatkan 10 jenis model awal Nokia.
Akses kepada aplikasi-aplikasi tersebut terbuka jika pengguna mengaktifkan akaun Google atau Microsoft - Yahoo News Malaysia 14 Feb 2014