Gambar Kotak Hitam Pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 . Persoalan punca nahas pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 belum dapat terjawab sepenuhnya walaupun pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) telah menemui kotak hitam semalam.
Ini kerana apa yang terkandung dalam kotak hitam yang ditemui itu setakat ini adalah perakam data penerbangan (FDR) iaitu data yang mencatat mengenai teknikal penerbangan dari mula termasuk ketinggian dan kelajuan pesawat berkenaan.
Ia hanya sebahagian daripada kandungan kotak hitam dan perkakasan penting iaitu perakam suara kokpit (CVR) tidak ditemui bersama kotak hitam berkenaan.
CVR ialah alat yang merakam semua perbualan juruterbang, anak kapal dan sebarang suara dalam pesawat itu.
Panglima Tentera Nasional Indonesia Jeneral Moeldoko berkata operasi mencari alat CVR dan badan pesawat itu akan terus digiatkan di dasar laut mulai hari ini.
"Pencarian masih belum berakhir," kata beliau kepada wartawan yang disiarkan secara langsung menerusi siaran televisyen tempatan.
Kotak hitam itu ditemui pada koordinat 03" 37.21 S atau 109" 42.42 E dengan kedalaman antara 30 hingga 32 meter iaitu berhampiran tempat ekor bangkai pesawat itu ditemui di kawasan perairan berhampiran Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah.
Alat itu telah dibawa ke Komisi Nasional Keselamatan Transportasi (KNKT) di Jakarta untuk analisa setelah saksi dan pakar dalam bidang berkaitan hadir kelak seperti yang ditetapkan oleh peraturan antarabangsa.
Menurut Kepala KNKT Tatang Kurniadi, proses analisa data itu bermula dengan membuat transkrip data dan pembacaan data itu akan mengambil masa yang agak lama.
Hari ini, memasuki hari ke-16 operasi SAR dijalankan dan dalam tempoh dua hari ini, pihak SAR tidak menemui mayat yang dipercayai masih berada dalam kawasan perairan berkenaan atau terperangkap dalam pesawat yang terbenam dalam dasar laut itu.
Kepala Badan SAR Nasional (Basarnas) Bambang Soelistyo berkata, operasi SAR kini adalah ditahap akhir tetapi usaha mencari mayat nahas pesawat malang itu masih diteruskan bagi memenuhi harapan keluarga masing-masing.
Siaran televisyen MetroTV memetik Bambang sebagai berkata setiap operasi ada tahap-tahapnya tetapi pasukannya akan meneruskan usaha mencari mayat mangsa.
Setakat ini, sebanyak 48 mayat telah ditemui dan daripada itu sebanyak 30 mayat telah dikenal pasti identitinya.
Pesawat yang membawa 162 penumpang dan anak kapal itu berlepas dari Surabaya pada 5.35 pagi dan dijadual tiba di Singapura pada 8.20 pagi hari yang sama (28 Dis).
Penumpang pesawat itu terdiri daripada 149 warga Indonesia, Korea Selatan (3) dan masing-masing seorang rakyat Singapura, Malaysia dan United Kingdom.
Kru terdiri daripada enam rakyat Indonesia dan seorang warga Perancis. - BERNAMA
KEPUTUSAN DAN JADUAL LIGA PERDANA INGGERIS 2014 SINI