Berita Terkini Kes Altantuya Hukuman Mati Ke Atas Azilah Dan Sirul. Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman mati ke atas dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) selepas didapati bersalah membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu sembilan tahun lalu.
Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria sebulat suara mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2013 yang membebaskan Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar selepas membenarkan rayuan mereka.
Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati Mahkamah Rayuan terkhilaf dalam keputusannya.
Turut bersidang Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Tan Sri Ahmad Maarop.
Dalam penghakiman yang dibacakan Suriyadi, mahkamah berpuas hati bahawa kedua- dua responden gagal menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan.
Suriyadi berkata, notis alibi yang dikemukakan kepada pendakwaan tidak disokong oleh bukti kukuh oleh kedua responden.
Katanya, mahkamah mendapati kedua responden ada niat bersama untuk melakukan pembunuhan itu yang disokong dengan bukti barangan peribadi milik si mati yang dijumpai bersama responden kedua (Sirul Azhar).
Sementara itu, mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap Sirul Azhar selepas beliau gagal hadir untuk menerima penghakiman.
Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah, peguam bela, Kuldeep Kumar dan Datuk Hazman Ahmad mewakili Azilah selaku responden pertama manakala Kamarul Hisham Kamaruddin bertindak bagi pihak respoden kedua iaitu Sirul Azhar.
Pada 9 April 2009, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati ke atas kedua-dua responden selepas mendapati mereka bersalah melakukan pembunuhan itu.
Kedua-dua responden didakwa membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara jam 10 malam pada 19 Oktober dan jam 1 pagi pada 20 Oktober 2006.
Berikut kronologi kes pembunuhan Altantuya:
2006:
26 Oktober: Cif Inspektor Azilah Hadri dari Unit Tindakan Khas Bukit Aman ditangkap berhubung kehilangan Altantuya.
6 November: Korporal Sirul Azhar Umar dari unit yang sama turut ditangkap.
7 November: Penganalisis politik Abdul Razak Baginda ditahan polis bagi membantu siasatan kes berkenaan.
15 November: Azilah dan Sirul dituduh bersama di mahkamah majistret di Shah Alam atas pembunuhan Altantuya. Mereka didakwa telah membunuh wanita itu di satu lokasi antara Lot 12843 dan Lot 16735 di Mukim Bukit Raja, Selangor, antara 10 malam 19 Oktober dan 1.00 pagi hari berikutnya.
16 November: Razak didakwa di mahkamah majistret Kuala Lumpur kerana bersubahat dengan Azilah dan Sirul dalam pembunuhan itu. Beliau didakwa melakukan kesalahan itu antara 9.54 pagi dan 11.05 pagi pada 18 Oktober di tingkat 10 Bangunan Getah Asli di Jalan Ampang.
2007:
19 Jun: Perbicaraan Abdul Razak Baginda dan dua anggota polis berkenaan atas pembunuhan Altantuya bermula.
2008:
31 Oktober: Mahkamah Tinggi membebaskan Razak tanpa memerintahnya membela diri selepas memutuskan bahawa pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap beliau. Pada hari yang sama, Mahkamah Tinggi mendapati pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadap Azilah dan Sirul Azhar dan memerintahkan mereka membela diri.
14 November: Timbalan pendakwa raya Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah mengesahkan pendakwaan tidak akan merayu terhadap pembebasan Abdul Razak.
2009:
15 Januari: Azilah dan Sirul Azhar memulakan pembelaan diri. Azilah memberi kenyataan bersumpah dari kandang saksi.
4 Februari: Sirul Azhar memberi kenyataan bela diri dari kandang tertuduh.
9 April: Azilah dan Sirul Azhar didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi dan dihukum gantung sampai mati.
10 April: Azilah memfail notis rayuan terhadap sabitan dan hukuman matinya.
13 April: Sirul Azhar memfail notis rayuan terhadap sabitan dan hukuman matinya.
2013:
24 Jun: Mahkamah Rayuan mendengar rayuan kedua-dua mereka.
23 Ogos: Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan dikemukakan oleh Azilah dan Sirul Azhar dan membebaskan mereka dari tuduhan berkenaan. Pendakwaan memfail rayuan pada hari yang sama.
2014:
23 Jun: Mahkamah Persekutuan mendengar rayuan pihak pendakwaan. Perkara itu didengar selama tiga hari.
25 Jun: Panel lima anggota Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria menangguhkan keputusan mereka terhadap rayuan pendakwaan - BH online
KEPUTUSAN DAN JADUAL LIGA PERDANA INGGERIS 2014 SINI