Tiga Keistimewaan Doa Nabi Yunus Yang Termakbul | Nabi SAW bersabda: “Doa Dzi al-Nuun (Nabi Yunus) ketika ia berdoa dalam perut ikan paus adalah: (Tidak ada Tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk antara orang yang berbuat aniaya). Sesungguhnya tidaklah seorang Muslim berdoa dengannya dalam suatu masalah melainkan Allah kabulkan baginya.” (Riwayat al-Tirmidzi)
Berkenaan doa Nabi Yunus juga disebut dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Dzun-Nun, ketika ia pergi dalam keadaan marah, yang menyebabkan ia menyangka bahawa Kami tidak mampu mengenakannya kesusahan; maka ia pun menyeru dalam kegelapan dengan berkata: Sesungguhnya tiada Tuhan yang dapat menolong melainkan Engkau. Maha Suci Engkau sesungguhnya aku adalah dari orang yang menganiaya diri sendiri. Maka Kami kabulkan doanya dan Kami selamatkan dia dari kesuahan dan seperti demikianlah Kami akan selamatkan orang yang beriman.” (Surah al-Anbiya’, ayat 87-88)
Doa Nabi Yunus termakbul
Mengapa doa Nabi Yunus termakbul adalah kerana dalam doa Baginda terdapat pengakuan pada ketauhidan Allah SWT dan pengakuan terhadap setiap dosa, kesalahan dan kezaliman yang dilakukan oleh diri sendiri.
Inti pati doa Dzun Nuun ini ada tiga keistimewaan iaitu pengakuan tauhid, pengakuan kekurangan diri dan permohonan ampun (istighfar) kepada Allah SWT.
Sudah sepatutnya bagi setiap hamba yang mengalami kegelisahan dan kesedihan untuk sering mengulang doa ini serta menambahkan dalam setiap doanya. Nescaya Allah SWT akan mudah mengijabahkan doanya - BH online
Follow @rossacalla