Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Aminuddin Omar, Ahad menegaskan penggunaan logo baharu yang diputuskan dalam kongres KFA 18 Dis lepas tiada kaitan dengan pemilik kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris, Cardiff City FC, Tan Sri Vincent Tan.
Sebaliknya kata Aminuddin, pertukaran logo daripada Hijau Kuning kepada Helang Merah tersebut dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang juga Sultan Kedah.
"Kita tidak sewenang-wenangnya hendak menukar logo dan penukaran logo baharu sebagai langkah transformasi pengurusan KFA dalam memastikan pasukan bola sepak negeri lebih maju," katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu Program Mercu Sukan Kedah, terbitan Radio Malaysia Kedah FM, di Alor Setar.
Aminuddin mengulas dakwaan sesetengah pihak yang mengaitkan pertukaran logo itu dengan sumbangan RM2 juta oleh Tan kepada KFA sebagai persediaan menghadapi Liga Malaysia musim ini.
Sambil menafikan perkara itu, beliau berkata Tan tidak mencampuri pengurusan persatuan tersebut susulan sumbangan yang diterima pada 15 Ogos lalu.
"Menukar logo ini bukan bererti kita akan terus menang Piala Malaysia, tetapi sebagai langkah awal untuk menggerakkan pengurusan KFA dalam usaha mengembalikan kegemilangan bola sepak negeri yang pernah memenangi tiga kejuaraan Liga Malaysia dalam dua musim berturut-turut iaitu pada 2006/2007 dan 2007/2008," katanya.
Tindakan KFA menukar logo itu mengundang rasa tidak puas hati kebanyakan penyokong Kedah yang sudah sebati dengan jolokan Sang Kenari dan menganggap gelaran Helang Merah tidak relevan dengan peminat bola sepak tempatan.
Logo Sang Kenari merupakan idea bapa pembangunan bola sepak negeri Allahyarham Datuk Ahmad Basri Mohd Akil.
--BERNAMA