Pertandingan 4 Penjuru Untuk PRK Parlimen Bukit Gelugor 2014 | GEORGETOWN: Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor pada 25 Mei ini bakal menyaksikan persaingan empat penjuru membabitkan calon DAP, Parti Cinta Malaysia (PC) dan dua calon Bebas.
Calon yang bertanding adalah
1) Ramkarpal Singh, 38 (DAP);
2) Naib Presiden PCM, Datuk Huan Cheng Guan, 53;
3) ahli PAS Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abd Sathar, 63 dan
4) peguam Abu Backer Sidek Mohamad Zan, 46.
Pencalonan seorang lagi calon Bebas, Lim Chee Khoon dari parti yang baharu ditubuhkan, Penang Front Party (PFP) ditolak kerana gagal menyerahkan wang deposit sebanyak RM10,000, manakala pengusaha inap desa, Mohd Yacoob Mohd Noor, 25 gagal menyerahkan borang apabila pencadangnya tidak muncul hingga tempoh pencalonan tamat.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya P51, Kapten (B) Anuar Yahya berkata, empat calon menghantar borang pencalonan dalam tempoh sejam yang ditetapkan di pusat penamaan calon di Dewan Sri Pinang, pagi Isnin.
PRK Bukit Gelugor diadakan berikutan kematian Karpal, 74, yang juga penyandang kerusi itu dalam kemalangan jalan raya membabitkan kenderaan MPV yang dinaikinya dan sebuah lori di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung di Perak pada 17 April lalu.
Daftar Pemilih Induk (DPI) mengandungi 82,431 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 82,255 pengundi biasa, 148 pengundi awal dan 28 pengundi tidak hadir luar negara.
mstar online
Follow @rossacalla