Stadium Baru JDT Bakal Dibina Di ‘Garden Island’ | Johor Bahru: Sebuah stadium bola sepak baru dengan kapasiti 40,000 hingga 50,000 penonton bakal dibina di sebuah pulau buatan manusia di negeri ini.
Bagaimanapun, Tunku Mahkota Johor yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika mengesahkan perkara itu menegaskan pihaknya belum dapat menjangkakan tarikh sebenar pembinaan stadium itu dapat dimulakan.
Katanya, buat sementara waktu, pihaknya akan menaik taraf Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin secara berperingkat sementara menunggu stadium baru siap.
“Saya dan Tuanku Sultan baru mendengar taklimat mengenai pembangunan di kawasan terbabit malam tadi (kelmarin) dan agak tertarik mengenai usaha itu.
“Saya jangkakan pembangunan seperti itu berlaku dalam tempoh 40 tahun akan datang, tapi sebenarnya ia sudah ada di Johor.
“Kerja menambak tanah dijalankan di kawasan antara Johor dan Singapura dan keluasan pulau buatan manusia itu kira-kira lima kali ganda daripada Pulau Sentosa Singapura,” katanya.
TUNKU Ismail (kanan) pada sidang media di Stadium Larkin.
Menurutnya, kawasan yang bakal dibangunkan itu akan dikenali sebagai Garden Island.
Tunku Ismail juga berkata, pihaknya tidak mahu stadium itu dibina terlalu besar seperti Stadium Shah Alam, Selangor yang mempunyai kapasiti 80,000 penonton.
“Kalau dengan kapasiti begitu, jika 40,000 penonton hadir masih dapat lihat keadaan stadium seakan kosong.
“Kami mengkaji permintaan penonton untuk hadir ke stadium, tapi saya jangkakan ia mungkin dibina bagi menampung antara 40,000 atau 50,000 penonton saja,” katanya - myMetro.
Follow @rossacalla