Catuan Air Di Lembah Kelang Ditarik Balik Khamis 1 Mei 2014 | Pelan catuan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang bermula pada 27 Februari tahun ini akan ditarik balik, berkuatkuasa esok.
Menurut laporan media, perkara itu diumumkan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Ismail Kasim dalam satu kenyataan di Kangar, pada Rabu.
Katanya pengguna air yang terjejas akibat catuan peringkat 1, 2, 3 dan 4 bakal menikmati bekalan air seperti biasa, mulai esok (Khamis).
Ismail berkata keputusan itu disahkan kerajaan negeri Selangor menerusi surat rasmi bertarikh 29 April 2014.
Dalam surat itu, setiausaha kerajaan negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi menyatakan, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Air Negeri Selangor mengenai catuan bekalan air.
Mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu dihadiri setiausaha kanan Kementerian Teknologi Hijau dan Air, Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), serta wakil agensi berkaitan.
Sementara itu, Khalid dijadualkan mengumumkan perkara itu dalam satu sidang media di Shah Alam petang ini.
Astro Awani
Follow @rossacalla