Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei hanya selangkah lagi untuk merangkul gelaran hatrik Terbuka Hong Kong apabila melepasi peringkat separuh akhir di Coliseum Hong Kong, Sabtu.
Chong Wei, 31, hanya mengambil masa 34 minit untuk ke pentas final selepas dengan mudah mengatasi pemain Thailand, Boonsak Ponsana 21-12, 21-7, sekali gus melebarkan rekod kemenangan kepada 20 daripada 22 pertemuan dengan pemain itu.
Pemain nombor satu dunia itu, yang menjuarai kejohanan itu dua kali berturut-turut pada 2009 dan 2010, akan menentang pemain Indonesia, Sony Dwi Kuncoro pada final esok.
Pada pertemuan separuh akhir, Sony, 29, mengalahkan rakan senegara dan pemain pilihan kelima, Tommy Sugiarto, yang menarik diri akibat kecederaan selepas ketinggalan 8-3 pada set kedua.
Sony menang set pertama dengan keputusan 21-14.
Untuk rekod, pertemuan antara Chong Wei dan Sony merupakan kali ke-14 dengan Chong Wei menang lapan kali dengan kali terakhir pada Terbuka Malaysia tahun ini. - BERNAMA
KEPUTUSAN PENUH - Chong Wei Menang 2 set terus
Lee Chong Wei 21 21
Sony Dwi Kuncoro 13 9