Joko Widodo Bakal Presiden Baru Indonesia? | Jakarta: Parti pembangkang utama Indonesia, Parti Demokratik Indonesia Perjuangan (PDI-P) mendahului pilihan raya Parlimen di Indonesia semalam yang memberi peluang cerah kepada calon popularnya, Gabenor Jakarta, Joko Widodo, selangkah lebih hampir menjadi bakal pemimpin negara itu.
PDI-P mendahului dengan menerima 18.66 peratus daripada undian pada kiraan awal menurut laporan Antara.
Golkar, yang pernah dipimpin bekas Presiden Suharto, kedua dengan 14.71 peratus undian, manakala Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) yang meletakkan bekas jeneral, Prabowo Subianto, sebagai calon presiden ketiga dengan 11.6 peratus.
Keputusan rasmi akan diumumkan 9 Mei. Pilihan raya berjalan lancar di kebanyakan bahagian negara itu dengan pusat pengundian ditutup jam 1 petang waktu tempatan tanpa laporan gangguan besar atau keganasan. Kira-kira 186 juta penduduk layak mengundi 230,000 calon yang bertanding di seluruh negara untuk 20,000 di dewan perundangan pusat dan daerah, walaupun paling penting ialah mengundi untuk Dewan Rakyat.
‘Kiraan awal’
Kiraan tidak rasmi, dikenali sebagai ‘kiraan awal’ oleh Indonesia Political Indicator menunjukkan PDI-P memperoleh 19.68 peratus daripada undian, dengan kira-kira 20 peratus sampel undian daripada sebahagian 2,000 pusat pengundian sudah dikira.
Kiraan daripada Indonesia Survey Circle pula memberikan parti itu sekitar 19 peratus, dengan kira-kira 30 peratus undian sudah dikira.
Parti atau parti gabungan memerlukan 20 peratus kerusi dalam Dewan Parlimen yang mempunyai 560 kerusi atau 25 peratus daripada undian seluruh negara untuk meletakkan calon pilihan raya presiden 9 Julai nanti.
Perhatian lebih tertumpu kepada calon kegemaran, Widodo dan partinya PDI-P yang dijangka menang peratus terbesar undian.
“Saya amat yakin parti saya akan menang besar,” kata gabenor berusia 52 tahun itu, tersenyum lebar selepas mengundi berhampiran kediaman rasminya di Jakarta, ketika beliau diserbu kira-kira 200 wartawan - BH online
Follow @rossacalla