Quantcast
Channel: Panduan Malaysia
Viewing all articles
Browse latest Browse all 5604

Apa Pandangan Wartawan Terhadap Ahmad Jauhari Yahya CEO MAS

$
0
0
Ahmad Jauhari Yahya CEO MAS Dari Pandangan Wartawan

Ahmad Jauhari Yahya CEO MAS Dari Pandangan Wartawan | AJ di mata wartawan

Bagi seorang wartawan yang telah meliputi industri penerbangan selama bertahun-tahun, Ahmad Jauhari seorang yang kurang bercakap dan dibayangi oleh CEO-CEO sebelumnya.

“Bandingkan beliau dengan CEO sebelumnya, Tengku Datuk Sri Azmil Zahruddin Raja Abdul Aziz, yang tahu apa yang dia lakukan, Ahmad Jauhari nampak seperti hilang punca, tidak begitu mahir dan tidak mengurus secara mikro," kata wartawan itu.

Katanya, Ahmad Jauhari seorang yang tidak mesra media dan akan "lari" sekiranya ada isu kontroversi.
"Pernah sekali beliau hanya berlalu ketika didekati oleh wartawan. Begitulah dia dulu, lebih selesa menjauhkan diri dan bukannya mendekati," katanya tetapi menambah CEO itu sekarang nampaknya telah berubah.
"Saya rasa beliau ikhlas bersimpati dengan keluarga yang terlibat, mungkin penasihatnya tidak menasihatkannya dengan betul, tetapi hatinya di tempat yang betul."

Seorang lagi wartawan, seorang editor, tidak setuju bahawa Ahmad Jauhari sukar didekati dan sebaliknya berkata beliau "selalu merendah diri dan boleh jadi sinikal juga."

"Dia pelari maraton, mentalnya kuat. Dia boleh menangani keadaan apabila dia mengambil alih syarikat biarpun syarikat itu rugi. Dia boleh berdepan dengan laporan media yang negatif," katanya, yang pernah sama-sama menyertai satu kejohanan maraton bersama Ahmad Jauhari. CEO MAS itu seorang yang cergas; berlari dan berenang pada masa lapangnya.

Bagaimanapun, kecergasan fizikal itu tidak menyembunyikan tekanan mental yang cukup menghenyak.

Semasa sidang media harian, Ahmad Jauhari nampak lebih senyap berbanding Pemabngku Menteri Pengangkutan Hishammuddin Hussein dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Azharuddin Abdul Rahman.

“Dia nampak muram seolah-olah seluruh alam terhimpap pada bahunya. Kalau saudara tunjukkan saya gambarnya semasa dia tersenyum, saya mungkin tidak cam," kata seorang wartawan yang meliputi sidang media harian itu.

"Dia begitu profesional, sangat tenang dan konsisten sepanjang masa. Dia yang paling tenang antara semua yang ada di pentas. Tetapi kita masih boleh lihat dia masih seorang manusia. Dia nampak jujur dan mahukan yang terbaik untuk keluarga dan krew," tambahnya.

Nasihat bekas CEO

Bekas CEO MAS Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman, yang menerajui syarikat penerbangan itu semasa nahas Boeing 737-200 di Tanjung Kupang, Johor pada 1977 yakin Ahmad Jauhari boleh mengatasi dugaan ini.

“Saya yakin dia tahu tugasnya dan dia akan lakukan yang terbaik," katanya.

“Saya rasa tidak adil kalau orang minta dia letak jawatan. Ini bukan budaya Malaysia, seperti di Jepun yang malah sanggup hara-kiri untuk menunjukkan rasa malu. Sekarang ini beliau sedang membetulkan keadaan, memulihkan imej. Itu adalah mengambil tanggungjawab."

Abdul Aziz berkata junior beliau dua dekad itu telah melakukan tugasnya dengan agak baik terutamanya dengan ahli keluarga biarpun ada sesetengah yang mengeluh.

“Pada mulanya agak lembap dan bukan mudah untuk menguruskan keadaan tetapi saya tahu sesiapa pun tidak akan dapat menguruskannya dengan lebih mudah.

"Saya perasan semasa sidang media, mereka tidak menjawab soalan seperti yang dikehendaki. Tidak ada alasan yang diberikan kepada sesuatu perkara. Tetapi pada masa sama tentulah susah hendak beritahu kepada umum apa yang berlaku sekiranya mereka sendiri tidak tahu apa yang terjadi. Ini satu dilema," kata Abdul Aziz.


Bolehkah dia bertahan?

Barangkali dilema terbesar Ahmad Jauhari ialah apabila beliau terpaksa memberitahu hampir 1,000 ahli keluarga bahawa harapan untuk menemui mereka yang terselamat adalah tipis.

Untuk itu, beliau sekarang terpaksa menanggung beban kemarahan sanak saudara yang tidak dapat menerima kenyataan itu sehinggalah bangkai pesawat ditemui. Tekanan daripada antarabangsa ke atas Malaysia dan MAS juga terus menghenyak.

“Dia penat mengendalikan krisis ini selama berminggu-minggu tetapi dia tetap tenang. Dia tidak pernah nampak hilang sabar, mungkin sekali.

“Saya boleh nampak dia cuba untuk menjelaskan semua perkara, apa yang dikatakan, perkara-perkara yang dia faham. Dia fokus kepada hal-hal yang berlaku di sekelilingnya," kata sumber yang dekat dengan Ahmad Jauhari.

Biar apapun, sumber itu yakin Ahmad Jauhari akan terus bertahan kerana dia tahu dia diperlukan. "Beliau bukan seorang yang mudah putus asa," katanya.


Astro Awani



Viewing all articles
Browse latest Browse all 5604


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>