Shila Amzah Duduki Tangga Tercorot I Am A Singer | Penyanyi bertaraf antarabangsa, Shila Amzah telah mengejutkan ramai pihak terutama para peminatnya apabila menduduki tangga keenam pada minggu ke-12 dalam program nyanyian berbentuk realiti di China.
Shila yang cantik memakai busana berwarna hijau lumut itu telah menyampaikan lagu berjudul "Yang Chong" dilihat berjaya menyampaikan emosi lagu itu sehingga para penonton terpukau dengan persembahannya.
Kedudukannya dalam program terbitan Hunan TV itu dilihat jatuh merundum kerana pada minggu sebelumnya dia telah menduduki tangga pertama apabila mempersembahkan lagu nyanyian Adele yang berjudul "Rolling In The Deep" dengan begitu menarik sekali.
Dalam pada itu, ramai berpendapat bahawa kemungkinan Shila diboikot berikutan ketidakpuasan rakyat China terhadap insiden MH370.
"Shila tetap akan meneruskan perjuangannya di sana dan tetap optimis untuk mengharumkan nama negara. Ketika insiden MH370 berlaku, Shila tetap dilayan baik oleh peminatnya disana," jelas Fauziah Sharman, ibu Shila kepada Harian Metro.
Sementara itu, peminatnya di Malaysia rata-rata melahirkan perasaan terkilan apabila melihat penampilan Shila yang dikatakan agak tidak menepati kriteria pakaian wanita yang bertudung dalam satu program hiburan di stesyen televisyen yang sama.
Pemakaian legging yang seakan warna kulit itu dilihat agak tidak bersesuaian kerana kelihatan Shila seperti tidak memakai apa-apa selain gaun paras lutut berwarna biru.
Pengurus Shila Di China, Ong Peng Chu turut menjelaskan bahawa ada pihak sengaja membuat cerita kononnya Shila hanya memakai gaun sahaja dan tidak memakai legging. Para peminat boleh menyaksikan sendiri kesahihan dengan menyaksikan program itu yang telah dimuat turun di laman YouTube.
Beliau turut menambah, Shila kini sedang sibuk membuat persiapan menjelang pusingan akhir dan ia bukan mudah kerana terpaksa bersaing dengan bintang hebat di sana - Yahoo News Malaysia
Follow @rossacalla