PEMILIK Cardiff City, Vincent Tan menandatangani perjanjian untuk mengambil alih kelab Liga Perdana Bosnia, Sarajevo yang akan bekerjasama dengan kelab berpangkalan di Wales itu.
"Kami telah menandatangani perjanjian yang menetapkan hak pengurusan dan pelaburan mengikut peraturan kelab dan undang-undang yang dikuatkuasakan di Bosnia," kata Ketua Pengarah Sarajevo, Dino Selimovic.
Selimovic enggan mendedahkan butir-butir terperinci berhubung pelaburan tersebut tetapi media tempatan melaporkan pada Rabu bahawa jutawan dari Malaysia itu bersetuju melabur sebanyak 3 juta Bosnia Marka atau 1.28 juta pound (RM6.91 juta).
Sarajevo yang ditubuhkan pada 1946, diisytiharkan muflis selepas menanggung bebanan hutang bernilai jutaan Bosnia Marka.
Tan, yang berunding dengan pengurus kelab tersebut sejak musim panas lalu, mahu mereka merangka pelan mengenai penstrukturan semula hutang dan rancangan pelaburan untuk tempoh tiga tahun, kata Naib Presiden Sarajevo, Edis Kusturica kepada akhbar Nezavisne Novine.
Di bawah perjanjian itu, Cardiff akan bekerjasama dengan Sarajevo, bertukar pemain dan terlibat dalam akademi bola sepak - mStar online