Tumpahan Minyak Di Jalan Duta Buka Rahsia Sindiket | Kuala Lumpur: Pemeriksaan anggota bomba dan penyelamat terhadap sebuah lori yang menyebabkan tumpahan minyak di Jalan Duta di sini, semalam, sehingga mengakibatkan tiga kereta dan 20 motosikal terbabas membongkarkan satu sindiket penyeludupan diesel.
Ini berikutan pemeriksaan pada lori itu menemui enam tong dianggarkan mengandungi kira-kira 6,000 liter minyak dipercayai untuk diseludup.
Pemeriksaan mendapati terdapat paip disambung dari tangki lori ke setiap tong yang ditutup dengan kanvas di belakang kenderaan terbabit. Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Penguasa Kanan Bomba 1 Azizan Ismail berkata, pemeriksaan anggotanya itu tidak menolak kemungkinan lelaki berusia 30-an itu ada kaitan dengan sindiket penyeludupan diesel berikutan muatannya yang melebihi had dibenarkan.
“Penyambungan paip itu juga mencurigakan kerana kita percaya apabila pemandu mengisi minyak, ia akan disalurkan terus ke dalam enam tong yang berukuran 1,000 liter setiap satu.
“Berikutan keadaan kenderaan yang mencurigakan itu, pemandu terbabit diserahkan kepada anggota polis untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Dalam kejadian jam 2.20 petang itu, seorang wanita cedera parah selepas kereta dipandunya terbabas dan melanggar pembahagi jalan manakala lebih 20 penunggang motosikal cedera ringan selepas terjatuh di jalan raya.
KONTRAKTOR membersihkan tumpahan minyak di Jalan Duta, semalam.
Kejadian dipercayai berpunca daripada klip penyambungan utama pada tong dibawa lori berkenaan tercabut menyebabkan muatan diesel dianggarkan sebanyak 2,000 liter tumpah dan mengalir sepanjang satu kilometer tanpa disedari pemandu.
Azizan berkata, terdapat tiga kereta yang melalui jalan berkenaan terbabas dan merempuh penghadang jalan.
“Seorang pemandu cedera parah dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut manakala penunggang motosikal hanya mengalami cedera ringan,” katanya - myMetro
Follow @rossacalla