Quantcast
Channel: Panduan Malaysia
Viewing all articles
Browse latest Browse all 5604

Gambar Tragedi Tanjung Kupang MH653 Masih Diingati

$
0
0
Tragedi Tanjung Kupang MH653

Gambar Tragedi Tanjung Kupang MH653 Masih Diingati | Isnin 4 Disember 1977 adalah tarikh yang paling mendukacitakan dalam sejarah Penerbangan Malaysia (MAS) apabila salah sebuah pesawat miliknya terhempas dan mengorbankan banyak nyawa termasuk orang kenamaan.

Penerbangan MH653 yang membawa seramai 93 penumpang bersama tujuh krew penerbangan telah meletup dan terhempas di sebuah kawasan paya bakau dekat Kampung Ladang, Tanjong Kupang, Gelang Patah, Johor.

Rangka pesawat itu berkecai dan terbakar hingga meranapkan muka bumi seluas kira-kira dua kilometer persegi dari titik hentamannya.
Tragedi Tanjung Kupang MH653

Peristiwa yang berlaku 33 tahun lalu itu juga meninggalkan memori hitam kepada sejarah negara apabila ia turut mengorbankan Duta Cuba ke Malaysia yang pertama, Mario Garcia Inchaustegui dan isterinya, Gladys yang dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas menghadiri seminar di Pulau Pinang.

Berdasarkan kisah yang dinyatakan kepada umum, pada pukul 7.21 malam hari kejadian, pesawat Boeing 737 yang dikendalikan Kapten G.K. Ganjoor dan pembantunya, Kamarulzaman Jalil itu sedang dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang menuju ke Lapangan Terbang Subang.
Tragedi Tanjung Kupang MH653

Sebelum sempat melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Subang, Ganjoor sempat memberitahu menara kawalan mengenai kehadiran pengganas di dalam pesawat yang sedang dikendalikannya.

Selepas mengetahui perkara tersebut, pihak berkuasa Lapangan Terbang Subang segera mengosongkan laluan 33 bagi membolehkan pesawat Boeing 737 kendalian Ganjoor dan Kamarulzaman mendarat dengan selamat.

Bagaimanapun, pesawat tersebut tidak sempat untuk melakukan pendaratan di lapangan terbang itu, sebaliknya Ganjoor bertindak terbang semula ke awan dan memberitahu menara kawalan yang dia diarahkan oleh pengganas untuk menuju ke Singapura.
Tragedi Tanjung Kupang MH653

Kira-kira pukul 8.15 malam, pesawat yang membawa 93 penumpang bersama tujuh krew penerbangan itu hilang dari radar menara kawalan dan terhempas di sebuah kawasan hutan paya bakau di Tanjong Kupang, Gelang Patah.

Selain mengorbankan Mario Garcia dan usahawan Jepun, Tomio Gotto, tragedi pesawat MH653 itu turut meragut nyawa Menteri Pertanian, Datuk Seri Ali Ahmad; Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Tan Sri Mahfuz Khalid; Pengarah Kerja Raya Bahagian Tentera, Datuk Khalid Mohamad; Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Abu Bakar Othman Merican serta dua pegawai Bank Dunia, O.D. Hoerr dan S.A. Naime.

Tempat tragedi pesawat MH653 itu adalah sebahagian daripada kawasan paya seluas 800 hektar milik kerajaan yang kini diletakkan di bawah jagaan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) secara konsesi dan dirizabkan sebagai zon bebas aktiviti manusia.

Paya yang hangus dan menjadi saksi kepada 100 jiwa yang terkorban itu kini hanyalah hamparan muka bumi yang mirip hutan sekunder.

Tugu Peringatan Tanjong Kupang di Jalan Kebun Teh, Johor Bahru itu telah dibina sebagai usaha untuk memperingati mereka yang terkorban dalam tragedi Tanjung Kupang.
Pada 24 Februari lalu, Duta Cuba ke Malaysia yang ketiga, Carlos A. Amores bersama isterinya, Lianys Dorres serta dua anaknya dan Pengarah Kuok Brothers Sdn. Bhd., Frank S.K Goon yang mewakili Tan Sri Robert Kuok termasuk beberapa pegawai dari Kedutaan Cuba datang ke tempat berkenaan untuk memberikan penghormatan.
Tragedi Tanjung Kupang MH653

Beliau bersama delegasinya tiba di perkarangan tugu berkenaan kira-kira pukul 9.30 pagi sambil membawa beberapa kalungan bunga untuk diletakkan di situ sebagai tanda penghormatan kepada semua mangsa yang terlibat.

Ketika ditemui, beliau memberitahu, kehadirannya bersama keluarga serta para pegawai dari Kedutaan Cuba ke Tugu Peringatan Tanjong Kupang itu adalah sebagai tanda penghormatan terhadap Duta Cuba pertama ke Malaysia, Mario Garcia Inchaustegui serta isterinya yang terkorban dalam tragedi itu.

Menurutnya, lawatan yang diadakan itu merupakan saat istimewa untuk wakil kerajaan Cuba di Malaysia kerana mereka berpeluang memberikan penghormatan kepada wakil kerajaan mereka yang terdahulu.

"Mario Garcia Inchaustegui merupakan seorang duta yang sangat unggul dan seorang sahabat yang baik," katanya.

Amores berkata, hubungan diplomatik yang terjalin sejak 35 tahun lalu di antara kedua-dua negara itu bermula ketika berlakunya perpecahan ideologi selepas tercetusnya Perang Dingin.
Selepas 22 tahun menjalinkan hubungan diplomatik, Cuba membuka kedutaannya di Kuala Lumpur pada 1997 dan kemudiannya pada Februari 2001 pula, Malaysia membuka sebuah kedutaan di Havana.

Amores juga yakin hubungan dua hala di antara Malaysia dan Cuba yang terjalin sejak 1975 itu juga menjadi langkah awal untuk meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang terutamanya politik, ekonomi, perdagangan antarabangsa, perubatan, pendidikan, sukan dan hubungan antara rakyat kedua- dua negara.

"Saya percaya kerjasama ekonomi dan perdagangan antarabangsa antara kedua-dua negara akan dapat diperkukuhkan lagi," katanya.


Utusan Malaysia





Viewing all articles
Browse latest Browse all 5604


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>