Gambar Bas Jatuh Gaung Di KM301.5 Lebuhraya PLUS | Kampar: Seorang pemandu bas maut manakala dua penumpang cedera parah selepas bas ekspres dinaiki terjunam dalam gaung sedalam kira-kira 12 meter di Kilometer 301.5, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Utara berhampiran Hentian Rehat Gua Tempurung, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.25 petang itu, bas yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh itu, dipercayai terbabas selepas cuba mengelak sebuah kenderaan lain di hadapannya yang hilang kawalan sebelum berpusing beberapa kali.
Ketua Polis Daerah Superintendan Ng Kong Soon berkata, siasatan awal mendapati sebuah kenderaan MPV Toyota Avanza dikatakan hilang kawalan serta berpusing di tengah laluan.
Menurutnya pemandu bas berkenaan dipercayai cuba mengelak dari merempuh kenderaan itu, sebelum terbabas dan merempuh pembahagi jalan hingga terjunam ke dalam gaung di kiri jalan.
Menurutnya pemandu bas berkenaan dipercayai cuba mengelak dari merempuh kenderaan itu, sebelum terbabas dan merempuh pembahagi jalan hingga terjunam ke dalam gaung di kiri jalan.
“Pemandu bas dikenali sebagai Hasmir Arsat, 43, maut di tempat kejadian manakala dua penumpang seorang lelaki dikenali sebagai Mong Ming Chai, 49, dan seorang wanita Melayu, Farahzela Zainal Abidin, 27, yang cedera parah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan kecemasan.
“Bagaimanapun, pemandu MPV yang terbabit tidak mengalami kecederaan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar untuk diambil keterangan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Kong Soon berkata, pemeriksaan lanjut turut mendapati bas milik syarikat Konsortium Bas Ekspres Semenanjung (M) Sdn Bhd itu, dinaiki tiga individu iaitu dua penumpang dan seorang pemandu saja.
“Kesemua mangsa dipercayai tercampak keluar dari bas berkenaan sebaik ia menjunam ke dasar gaung dan pemandu malang yang beralamat di Taman Mewah, Bercham, Ipoh itu, maut akibat kecederaan parah pada kepala dan badan.
“Dua penumpang yang cedera, Farahzela berasal dari Kampung Jalong Sungai Siput (U), di sini dan Ming Chai menetap di Kampung Baru Salak Baru, Kuala Kangsar, mengalami kecederaan pada bahagian badan seperti kaki dan kepala,” katanya - myMetro