Berikut adalah kenyataan penuh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung maklumat terbaru yang disahkan, di sidang media di KLIA, hari ini.
Tujuh hari lepas, pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 hilang. Kami
sedar ini merupakan detik-detik yang amat menyeksakan bagi keluarga penumpang
yang menaiki pesawat itu. Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan keperitan
yang sedang mereka alami. Sesungguhnya, perasaan simpati dan doa kami sentisa
bersama mereka.
Saya meneliti operasi mencari pesawat itu sepanjang masa. Pada peringkat
awal operasi, saya mengarahkan supaya kawasan mencari diperluaskan; saya
mengarahkan pihak berkuasa Malaysia berkongsi semua maklumat berkenaan secara
bebas dan telus dengan pasukan penyiasat yang semakin besar; dan saya meminta
sahabat dan sekutu kami supaya menyertai operasi ini. Sehingga hari ini,
sebanyak 14 negara, 43 kapal dan 58 pesawat terlibat dalam usaha ini.
Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua kerajaan yang memberi
pertolongan dalam saat-saat yang amat getir ini. Sejak hari pertama lagi, pihak
berkuasa Malaysia bekerjaama rapat dengan rakan kami di peringkat antarabangsa -
termasuk negara jiran, pihak berkuasa penerbangan dan pasukan mencari dari
pelbagai negara - kebanyakan mereka berada di sini sejak Ahad lepas.
Kami telah berkongsi maklumat secara tepat masa dengan pihak berkuasa yang
memiliki pengalaman diperlukan bagi mentafsir data yang ada. Kami berusaha
tanpa henti untuk membantu penyiasatan. Dan kami meletakkan kepentingan negara
di tempat kedua dalam usaha mencari pesawat yang hilang itu.
Ramai yang faham bahawa situasi ini belum pernah terjadi sebelum ini.
Kami menjalankan operasi mencari di darat, di Laut China Selatan, Selat
Melaka, Laut Andaman dan Lautan Hindi. Pada setiap peringkat, kami bertindak
berdasarkan maklumat yang disahkan dan kami memberi tumpuan terhadap setiap
petunjuk yang boleh dipercayai.
Memang wujud pelbagai spekulasi. Kami faham keperluan mendesak untuk
mendapatkan maklumat bagi pihak keluarga terbabit dan mereka yang memerhati di
seluruh dunia. Namun demikian, tanggungjawab kami kepada penyiasatan dan
keluarga terbabit adalah untuk hanya mengeluarkan maklumat yang sudah disahkan.
Dan perkara yang memberi motivasi kepada kami ialah untuk mencari pesawat
berkenaan.
Dalam fasa pertama operasi mencari, kami melakukan pencarian berhampiran
posisi terakhir MH370 yang diketahui iaitu di Laut China Selatan. Pada waktu
yang sama, kami dimaklumkan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia bahawa menurut
radar utama mereka, sebuah pesawat udara – yang identitinya tidak dapat disahkan
– telah berpatah balik. Data radar utama ini menunjukkan bahawa pesawat udara
berkenaan menggunakan laluan penerbangan yang membawanya ke satu kawasan di
utara Selat Melaka.
Berdasarkan data yang boleh dipercayai ini, yang kemudiannya disahkan dengan
pihak berkuasa antarabangsa berkaitan, kami meluaskan kawasan mencari hingga
meliputi Selat Melaka dan kemudiannya Laut Andaman.
Awal pagi tadi, saya diberi taklimat oleh pasukan penyiasat - yang
dianggotai FAA, NTSB, AAIB, pihak berkuasa Malaysia serta Pemangku Menteri
Pengangkutan - mengenai maklumat baharu yang memberi lebih banyak petunjuk
tentang apa yang berlaku kepada MH370.
Berdasarkan maklumat terbaharu satelit, kami boleh menyatakan dengan tahap
kepastian yang tinggi bahawa Sistem Pengendalian Komuniksi dan Laporan Pesawat
(ACARS) dimatikan sejurus sebelum pesawat berkenaan sampai ke pantai timur
semenanjung Malaysia.
Sejurus selepas itu, berhampiran sempadan kawalan trafik udara antara
Malaysia dan Vietnam, transponder pesawat itu dimatikan.
Mulai saat itu, radar utama Tentera Udara Diraja Malaysia menunjukkan sebuah
pesawat, yang dipercayai – tetapi tidak disahkan – MH370 memang berpatah balik.
Ia kemudian terbang semula ke arah barat melalui semenanjung Malaysia, sebelum
membelok ke arah barat laut. Sepanjang tempoh itu, sehinggalah ia hilang
daripada liputuan radar utama tentera, pergerakan yang berlaku menunjukkan ia
adalah hasil tindakan secara sengaja oleh seseorang yang berada di dalam pesawat
berkenaan.
Hari ini, berdasarkan data satelit belum proses yang diperoleh daripada
penyedia perkhidmatan data satelit, kami boleh mengesahkan bahawa pesawat yang
ditunjukkan di dalam radar utama itu adalah penerbangan MH370. Selepas banyak
kajian forensik dibuat dan perbincangan mendalam diadakan, FAA, NTSB, AAIB dan
pihak berkuasa Malaysia, yang mengkaji data itu secara berasingan, memberi
pendapat yang sama.
Menurut data baharu itu, komunikasi terakhir yang disahkan berlaku antara
peswat itu dengan satelit ialah pada pukul 8:11 pagi waktu Malaysia, Sabtu, 8
Mac. Pasukan penyiasat sedang membuat kiraan selanjutnya untuk mengetahui hingga
sampai ke mana pesawat itu mungkin terbang selepas kali terakhir ia mempunyai
hubungan. Ini akan membantu kami memperhalusi lagi usaha mencari.
Berikutan jenis data satelit yang ada, kami tidak dapat mengesahkan lokasi
tepat pesawat itu berada ketika kali terakhir ia mempunyai hubungan dengan
satelit.
Bagaimanapun, berdasarkan data baharu ini, pihak berkuasa penerbangan
Malaysia dan rakan antarabangsanya memutuskan bahawa komunikasi kali terakhir
antara pesawat itu dengan satelit berlaku di satu daripada dua koridor
ini: koridor utara yang menjangkau lebih kurang dari sempadan Kazakhstan dan
Turkmenistan hingga ke utara Thailand, atau koridor selatan dari
Indonesia hingga ke selatan Lautan Hindi. Pasukan penyiasat
sedang berusaha untuk memperhalusi lagi maklumat ini.
Berikutan perkembangan terbaharu ini, pihak berkuasa Malaysia mengalih fokus
penyiasatan mereka kepada petugas dan penumpang pesawat berkenaan. Walaupun
terdapat laporan media bahawa pesawat itu telah dirampas, saya ingin menegaskan
dengan sejelas-jelasnya bahawa: kami sedang menyiasat semua kemungkinan yang
boleh menyebabkan MH370 melencong daripada laluan asal penerbangannya.
Maklumat satelit terbaharu ini memberi kesan penting terhadap bentuk dan
skop operasi mencari. Kami telah menghentikan operasi kami di Laut China Selatan
dan menilai semula penggunaan aset kami. Kami sedang bekerjasama dengan negara
berkaitan dan memohon mereka memberi semua maklumat berkenaan untuk digunakan
dalam operasi mencari, termasuk data radar.
Oleh kerana dua koridor baharu itu melibatkan banyak negara, maka kedutaan
negara berkenaan hari ini diundang menghadiri majlis taklimat bersama
Kementerian Luar Negeri dan pakar teknikal berhubung maklumat yang baharu
diperoleh itu. Saya juga telah mengarahkan Kementerian Luar Negeri memberi
taklimat penuh kepada kerajaan-kerajaan asing, yang rakyat mereka menjadi
penumpang pesawat itu. Pagi tadi, Malaysia Airlines memaklumkan kepada keluarga
penumpang dan petugas pesawat mengenai perkembangan terbaharu ini.
Jelas sekali, usaha mencari MH370 kini memasuki fasa baharu. Sepanjang tujuh
hari lepas, kami mengikuti setiap petunjuk dan mengkaji pelbagai kemungkinan.
Kepada keluarga dan rakan-rakan mereka yang terlibat, kami berharap maklumat
baharu ini akan membawa kami lebih dekat kepada menemui pesawat berkenaan. - Bernama