Berita Terkini Nahas Helikopter Terhempas Di Pakistan - Isteri Duta Malaysia Ke Pakistan Maut. GILGIT: Enam terkorban termasuk isteri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Pakistan apabila sebuah helikopter tentera Pakistan terhempas di atas sebuah sekolah dekat di wilayah ini yang terletak di bahagian utara negara itu petang ini. Bangunan sekolah turut terbakar akibat impak nahas itu, kata pegawai tentera yang bimbang jumlah korban mungkin meningkat.
Dipetik dari AFP, helikopter terhempas itu adalah satu daripada tiga yang membawa delegasi menyertai projek meninjau kawasan sekitar di wilayah Gilgit Baltistan di Pakistan selama tiga hari yang mana rombongan itu dijadual bertemu Perdana Menteri Nawaz Sharif.
Mengikut senarai penumpang yang diperoleh AFP, duta Indonesia, Lebanon, Malaysia, Belanda, Romania, Norway, Afrika Selatan, Filipina dan Poland dijadual terbang menaiki helikopter itu. Mereka yang cedera diterbangkan ke hospital tentera di Gilgit, ibu kota pentadbiran wilayah itu, 50 kilometer ke barat daya, tambah seorang lagi pegawai polis kanan tempatan.
Dipetik dari Astro Awani, Isteri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan, Datin Habibah Mahmud, adalah antara enam yang terbunuh apabila helikopter yang dinaiki terhempas ke atas sebuah sekolah di utara Pakistan. Dilaporkan terdapat murid-murid di dalam sekolah berkenaan ketika kejadian.
Menurut laporan rasmi pihak berkuasa tentera, turut sama berada di dalam helikopter berkenaan adalah isteri duta Indonesia, duta Norway Leid H.Larsen, Duta Filipina D. Lucenario Jr dan dua orang juruterbang tentera.
Nahas turut disahkan oleh jurucakap Tentera Pakistan Asim Bajwa menerusi laman Twitternya.
Helikopter jenis MI-11 itu membawa 11 tetamu kehormat asing dan enam warga Pakistan.