Untuk itu, AirAsia mengambil langkah untuk menarik balik iklan Tune Insurance dari semua pesawatnya serta merta.
“Kami ingin memberi jaminan kepada pelanggan kami terutamanya kepada mereka yang berkhidmat dalam profesion kejururawatan bahawa segala langkah telah diambil untuk menarik kembali iklan tersebut dari pesawat kami,” katanya dalam satu kenyataan media yang diemelkan kepada Astro AWANI.
Tambah kenyataan itu lagi, sebelum pengeluaran sesuatu iklan dilakukan, segala kandungan iklan tersebut akan diteliti terlebih dahulu oleh agensi pengiklanan mereka.
“Namun, dalam perkara ini, proses tersebut tidak dipatuhi dan kami benar-benar memohon maaf di atas kesilapan ini dan kami telah memanjangkan perkara ini kepada pihak atasan demi pembaikan proses penilitian agar ia tidak berulang pada masa akan datang."
AirAsia menjelaskan bahawa mereka menghormati profesion jururawat dan tidak pernah terniat untuk menyakiti atau menghina pekerjaan tersebut.
Permohonan maaf AirAsia tersebut dilakukan berikutan desakan Persatuan Perubatan Malaysia yang berasa amat kecewa dan membantah penyiaran iklan berbaur sensitif yang dipaparkan di tempat duduk dalam pesawat milik AirAsia.
Iklan tersebut yang dikatakan untuk mengiklan produk anak syarikat AirAsia iaitu Tune Insurance Malaysia tertulis perkataan“You want your momma, because you are in the hospital with lousy nurses.”
Astro Awani