Bandar Beijing |
BEIJING: Beijing menjadi lokasi 48 ibu pejabat syarikat dalam senarai Fortune Global 500 pada 2013, mengatasi Tokyo di tempat nombor 1 dalam ranking bandar dengan syarikat paling menguntungkan di dunia.
Tokyo menjadi pilihan 47 ibu pejabat syarikat Fortune Global 500 tahun lalu.
Agensi berita Xinhua melaporkan, syarikat yang beribu pejabat di Beijing dianggap sebagai pemacu ekonomi penting di bandar itu, mewujudkan 25 peratus pekerjaan dan menjana hampir 60 peratus hasil dan cukai bandar raya berkenaan.
Sementara itu, Pengarah Suruhanjaya Perdagangan Perbandaran Beijing Lu Yan, berkata selain menarik 20 syarikat swasta lagi untuk membuka ibu pejabat tahun ini, Beijing menyasarkan untuk memikat 15 lagi syarikat multinasional asing bagi membuka ibu pejabat serantau mereka di bandar itu pada 2014.
Setakat ini, lebih 700 syarikat multinasional asing serta pusat penyelidikan dan pembangunan mempunyai ibu pejabat di Beijing.
Dalam laporan ranking tahunan oleh majalah Fortune tahun lalu, China berada di tempat kedua dengan 89 syarikat tersenarai dalam 500 syarikat terkemuka, di belakang Amerika Syarikat dengan 132 syarikat, dan diikuti Jepun sebanyak 62 syarikat. - BERNAMA