Demikian pesanan Imam Masjid Baiturrahim di Aceh, Tengku Bukhari Haron, 63, yang cukup terkenal kerana terselamat daripada bencana tsunami pada 2004.

Menurutnya, penduduk Aceh melihat menerusi mata sendiri bagaimana kekuasaan tuhan yang membenarkan masjid itu terus kukuh biar pun bangunan di sekitarnya 'hilang' dibawa arus tsunami.

“Itu menjadi bukti bahawa kita ini tiada daya upaya berbanding kekuatan Allah. Kerana kasih sayang Allah yang menyebabkan masjid itu terselamat dan seluruh dunia perlu mengambil iktibar.

“Sebelum tsunami pun, masjid itu dipenuhi hampir 400 jemaah setiap kali solat fardu kecuali Subuh. Selepas tsunami berakhir, jumlah itu dilihat bertambah kerana ramai tetamu yang berkunjung ke situ bagi melihat kebesaran Allah,” 

Beliau ditemui ketika turut serta dalam Muzakarah Forum Silaturahim Kemakmuran Masjid Serantau (Forsimas) di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Masjid Baiturrahim menjadi cukup terkenal di serata dunia memandangkan kedudukannya yang begitu hampir dengan pantai namun hanya mengalami sekitar 20 peratus kerosakan akibat tragedi berkenaan.

Ketika kejadian, terdapat sembilan individu yang berlindung di masjid berkenaan terselamat termasuk seorang bayi berusia lapan bulan.

Beliau menambah, selepas tra­gedi yang meragut lebih 280,000 nyawa itu berakhir, masyarakat di Aceh dilihat lebih bersyukur dan sentiasa mengambil hikmah di atas bencana yang berlaku.

“Bagi kami apa yang lebih penting, kami mahu mengajak semua orang agar mendirikan solat. Kalau senang ke masjid, bersyukur dan kalau sukar, pohonlah pada Allah agar dipermudahkan kerana banyak manfaatnya berada di masjid,” katanya - Utusan Malaysia online.