Hukum Isteri Minta Cerai Dari Suami | Soalan:
Ustazah, apakah hukumnya seorang isteri meminta cerai daripada suaminya kerana
sudah tidak tahan hidup bersama dengan lelaki yang buruk akhlak.
Terima kasih.
Isteri Kecewa.
Jawapan;
Kebahagiaan dalam perkahwinan adalah impian bagi semua pasangan yang berkahwin.
Namun kadangkala kebahagiaan yang diimpikan bertukar menjadi mimpi ngeri,
bilamana suatu saat seorang isteri harus meminta cerai dari suaminya lantaran
berbagai sebab. Di sini akan dihuraikan beberapa pendapat ulama’.
Seorang isteri yang meminta cerai dari suaminya tanpa sebab adalah haram
hukumnya.Terdapat sabda Nabi SAW (bermaksud); "Mana-mana wanita (isteri) meminta
cerai dari suaminya tanpa ada suatu desakan, haram ke atasnya mencium bau Syurga
(yakni akan ditegah dari mencium bau Syurga)" (HR Imam Ahmad, Abu Daud, at-
Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban dan al-Hakim dari Tsauban RA. Menurut at-Tirmizi;
hadis ini hasan. al-Jami' as-Saghier, no. hadis; 2944).
Dari hadis di atas kita memahami bahawa; sengaja meminta penceraian dari suami
hukumnya adalah haram dan berdosa.
Namun jika ada ada desakan atau sebab yang munasabah, hukumnya adalah harus.
Menurut ulama’; contoh desakan ialah; suami yang zalim, suka mendera isteri, tidak
memberi nafkah dan mengabaikan tanggungjawab atau sebagainya. Atau isteri
merasakan tidak upaya lagi menunaikan tanggungjawab kepada suami jika kekal
bersama. Kerana itu, diharuskan meminta ditalaqkan atau meminta khulu' (tebus talak)
iaitu isteri meminta suami menceraikannya dan berjanji memberinya suatu bayaran
atau mengembalikan mas kahwinnya.
Ibnu 'Abbas RA menceritakan; Isteri kepada Tsabit bin Qais telah datang kepada Nabi
SAW (untuk menyatakan hasratnya meminta cerai dari suaminya). Ia berkata kepada
Nabi SAW; "Ya Rasulullah SAW, aku ingin meminta cerai dari Tsabit (suamiku) bukan
kerana aku mencela agamanya dan akhlaknya, akan tetapi aku bimbang menjadi kufur
(engkar)(yakni kufur dalam pengertian engkar hak/kewajipan terhadap suami atau
memilih untuk kufur (murtad) supaya terfasakhnya nikah)". Lalu Rasulullah SAW
berkata kepadanya; "Sanggupkah kamu mengembalikan tanah kebun yang ia berikan
kepadamu sebagai mas kawin ketika perkahwinan kamu dulu?". Ia menjawab; "Ya, aku
sanggup". Ia pun mengembalikan tanah kebun itu. Rasulullah lalu berkata kepada
Tsabit; "Ceraikanlah dia". (HR Imam al-Bukhari. Soheh al-Bukhari, 5276).
Zahir hadis menunjukkan Rasulullah membenarkan seorang isteri meminta cerai
meskipun suaminya tidak memiliki masalah dari aspek akhlak dan agama. Akan tetapi
hakikat sebenar tidaklah sedemikian. Isteri Tsabit adalah seorang yang mulia, beliau
tidak mahu mendedahkan aib Tsabit kepada Rasulullah atau orang lain. Namun apa yang
sebenarnya berlaku antara beliau dan Tsabit dapat diketahui melalui sebuah riwayat
lain:
Daripada al-Rubayi’ binti Mu‘awwidz, bahawa Tsabit bin Qais memukul isterinya hingga
tangannya patah. Isterinya (bernama) Jamilah binti Abdullah bin Ubay.
Kemudian datanglah saudara lelaki (Jamilah) kepada Rasulullah mengadu berkenaan
sikap suami tersebut (Tsabit). Maka Rasulullah mengutus seseorang kepada Tsabit……
[Shahih Sunan al-Nasaie, no: 3497]
Berdasarkan riwayat di atas, kesalahan Tsabit bin Qais memang diakui syarak lagi
munasabah untuk Jamilah (isterinya) meminta cerai daripadanya. Meskipun Jamilah
ingin menutupi aib suaminya di depan Rasulullah, baginda sudah pun mengetahui
tentang kesalahan Tsabit setelah dikhabarkan oleh saudara lelaki Jamilah. Oleh itu
Jamilah tidak meminta cerai daripada Tsabit tanpa apa-apa sebab yang syar’ie atau
munasabah.
Kesimpulannya, seorang isteri boleh minta cerai daripada suaminya jika dia memiliki
sebab yang sah dari sudut syarak, kuat lagi munasabah. Namun hendaklah ingat bahawa
ini adalah jalan keluar yang terakhir, bukan solusi yang awal. Semua perkahwinan akan
menghadapi konflik dan cabaran, tidak ada yang terlepas daripadanya. Apa yang
membezakan di antara satu perkahwinan dengan perkahwinan yang lain ialah usaha
yang dilakukan oleh kedua-dua pasangan untuk saling memperbaiki suasana dan
belajar dari kesilapan masing-masing.
Wallahu ‘aklam.
Ust.Shahidah Sheikh Ahmad