INCHEON: Jaguh basikal trek negara, Azizulhasni Awang merakamkan catatan peribadi terbaik 22.1 saat dalam acara pecut berpasukan lelaki pada temasya Sukan Asia ke-17 di Incheon International Velodrome, di sini, hari ini.
Namun, trio negara membabitkan Azizulhasni, Muhammad Edrus Md Yunus dan Josiah Ng sekadar menyudahkan cabaran di tempat kelima selepas merakamkan masa keseluruhan satu minit 02.077s.
"Saya berjaya mencipta catatan peribadi terbaik dalam pusingan pertama. Masa saya bagus dan pecutan juga bagus.
"Ia adalah baik dibandingkan dengan masa dirakamkan di Britain dan Jerman sebelum ini. Saya kini teruja mahu menyambung perlumbaan berikut," katanya, hari ini.
Perlumbaan berikut untuk Azizulhasni adalah dalam acara pecut dan keirin individu.
Pingat emas dimenangi trio Korea Selatan - Son Jeyong, Im Chaebin dan Kang Dongjin manakala perak menjadi milik Xu Chao, Hu Ke dan Bao Saifei dari China dengan gangsa dimenangi trio Jepun - Tomoyuki Kawabata, Seiichiro Nakagawa dan Kazunari Watanabe.
Sementara itu, Fatehah Mustapa dan Jupha Somnet juga mendapat tempat kelima selepas merakamkan 46.988s dalam acara sama berpasukan wanita.
China diwakili Zhong Tianshi dan Gong Jinjie memenangi emas manakala Lee Hyejin-Kim Wongyeong dari Korea Selatan dapat perak dengan gangsa menjadi milik Hsiao Mei Yu-Huang Ting Ying dari Taiwan. - BERNAMA
KEPUTUSAN DAN JADUAL LIGA PERDANA INGGERIS 2014 SINI