Dua wanita, seorang rakyat Malaysia berusia 28 tahun dan seorang warga Singapura berumur 46 tahun, ditahan Biro Narkotik Pusat (CNB) kerana cuba menyeludup kira-kira 450g heroin dan 52g dadah 'Ice' didalam seluar dalam mereka ke Singapura pada Rabu.
Menurut CNB, kira-kira 2.20 petang Rabu di zon ketibaan kereta di Pusat Pemeriksaan Woodlands, pegawai dari Lembaga Imigresen dan Pemeriksaan (ICA) menahan sebuah teksi dengan nombor pendaftaran Malaysia yang membawa empat penumpang dan merujuk mereka kepada CNB untuk pemeriksaan.
Seorang pegawai wanita CNB melakukan pemeriksaan ke atas seorang daripadapenumpang wanita dan menemui sebungkus heroin disembunyikan di dalam seluardalamnya.
Satu lagi bungkusan heroin dan bungkusan lebih kecil berisi 'Ice' turut ditemui disembunyikan di dalam seluar dalam seorang lagi penumpang iaitu warga Singapura, di dalam teksi sama.
Keseluruhannya, kira-kira 450g heroin dan 52g 'Ice' ditemui. Dadah yang dirampas itu mempunyai nilai pasaran kira-kira S$57,600.
Siasatan terhadap kedua-dua wanita itu masih dijalankan.- BERNAMA