SUV kompak M4 dengan tanda harga sebegitu dijangka mendefinisikan semula segmen SUV di negara ini berikutan majoriti SUV berharga sekitar RM100,000 ke atas.
Great Wall yang disenaraikan di Bursa Saham Hong Kong dan Shanghai ditubuhkan pada 1984, adalah pengeluar SUV dan trak pikap terbesar di China serta pengeluar kenderaan kelapan terbesar China.
Ketua Pegawai Eksekutif GO Auto, Ahmad Azam Sulaiman, berkata di peringkat global lebih 200,000 unit SUV M4 sudah dijual sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2013.
Katanya, M4 adalah model SUV utama untuk Great Wall dan syarikat yakin model itu akan turut mendapat sambutan baik di Malaysia.
“SUV kompak M4 bakal bersaing dengan SUV lain dan kami percaya pengguna Malaysia akan tertarik dengan tawaran harganya yang menarik. Ia bukan sahaja mampu milik, cekap tenaga dan juga menarik dari segala aspek.
“Sasaran pelanggan untuk SUV M4 ini ialah pemilik kereta pertama dalam lingkungan usia 21 hingga 35 tahun. Selain itu, kami juga menyasarkan golongan pemilik kereta yang berhasrat untuk menaik taraf kenderaan mereka kepada saiz yang lebih besar agar dapat membawa anak-anak serta ahli keluarga dengan selamat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Go Manufacturing Sdn Bhd (GO Auto) adalah pengeluar eksklusif untuk Great Wall di Malaysia dan bakal mengeluarkan 50,000 unit SUV M4 menjelang penghujung tahun ini.
Kilang pengeluaran bernilai RM2 bilion itu adalah pelaburan bersama antara GO Auto dan Great Wall Motors (GWM) yang berpangkalan di China, bagi menghasilkan kenderaan cekap tenaga di negara ini.
“Setakat ini, kilang cekap tenaga kami mampu menghasilkan 50,000 unit kenderaan tetapi kapasiti pengeluaran ini akan dipertingkat kepada 100,000 unit menjelang tahun 2018 nanti.
“Sekitar 60 peratus daripada keseluruhan produk keluaran kami akan dieksport ke negara ASEAN yang lain. Di peringkat tempatan pula, kami bakal melancarkan beberapa varian baharu dalam segmen SUV iaitu SUV M4 dan H6 yang akan diperkenalkan tidak lama lagi,” katanya.
SUV M4 mula dipertontonkan kepada pengguna di bilik pameran bermula 16 Julai ini.
M4 dibina di atas tapak roda bersaiz 2,383mm, sepanjang 3,961mm, selebar 1,728mm dan setinggi 1617mm. Ia dikuasakan enjin bersesaran 1.5 liter VVTi yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 78kW (103bhp) dan tork 138Nm. Enjin itu dipadankan dengan kotak gear automatik 6-kelajuan - BH online
Follow @rossacalla