Rebat Tol PLUS Lebih 10 Peratus Untuk Aidifitri 2014 | PLUS hari ini mengumumkan berita baik untuk pengguna Lebuh raya Utara-Selatan dengan jangkaan pengguna menikmati rebat tol lebih daripada 10 peratus pada hari yang terpilih.
Pengarah Urusan PLUS Datuk Noorizah Abd Hamid berkata, rebat itu bukan hanya dinikmati pengguna tunai tetapi pengguna yang membayar tol secara eletronik menggunakan kad PLUSMiles, Touch 'n Go dan SmartTAG di lebuh raya kendalian PLUS.
"Dengan adanya rebat, memang banyak boleh jimat, khususnya masa musim raya ini orang melakukan perjalanan jarak jauh, jadi bila jarak jauh tol yang kita bayar lebih banyak," katanya.
Katanya, rebat itu dilihat dapat menggalakkan pengguna menggunakan lebuh raya padahari yang tidak sesak sekali gus melancarkan lalu lintas.
"Pihak penguat kuasa akan bekerjasama dengan pihak PLUS untuk membantu mengendalikan trafik dengan lebih lancar sepanjang musim perayaan.
"Pihak PLUS akan sentiasa bekerjasama dengan pihak polis, pihak Jabatan Pengangkutan Jalan dan pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat untuk sama-sama bantu dan mencari jalan supaya kita dapat memberi lebih keselesaan kepada pengguna lebuh raya," katanya.
Jelas, Noorizah, pihaknya juga akan mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan untuk pengguna merancang perjalanan pada musim perayaan nanti.
Sempena musim perayaan ini, PLUS menjangkakan lalu lintas di lebuh raya dalam rangkaiannya akan mencecah antara 1.5 hingga 1.6 juta kenderaan sehari, namun demikian pihak PLUS akan melakukan sebaik mungkin bagi memastikan keadaan trafik lebih teratur dan tersusun.
Astro Awani