Khabar gembira buat rakyat negeri amnya dan masyarakat India khususnya apabila kerajaan Kedah mengumumkan 17 Januari ini sebagai cuti peristiwa sempena sambutan perayaan Thaipusam.
Menteri Besar Datuk Mukhriz Mahathir berkata perkara itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang juga Sultan Kedah.
Katanya kerajaan negeri telah berusaha menjadikan sambutan perayaan Thaipusam sebagai hari cuti di negeri ini dan ia menjadi kenyataan apabila diperkenan menjadi cuti peristiwa untuk tahun ini.
“Inilah yang sudah lama kita usahakan dan akhirnya berjaya juga. Insyallah apa yang dihasratkan itu menjadi kenyataan dan saya ingin maklumkan bahawa cuti peristiwa ini bermaksud sekiranya ia jatuh pada hari minggu maka cuti itu tidak akan diganti dengan hari bekerja. Memandangkan 17 Januari ini jatuh pada hari Jumaat, ia tidak akan diganti,” tambah beliau.
Katanya lagi kerajaan negeri akan memohon supaya perayaan Thaipusam menjadi hari cuti di Kedah bagi setiap tahun.
“Tahun depan dan seterusnya kita akan mohon untuk perayaan ini jadi hari cuti. Kita hanya dapat perkenan cuti peristiwa untuk tahun ini sahaja,” katanya.
SUMBER