Kegagalan lalu tidak melunturkan semangat wanita genit ini untuk kembali melangkah ke gerbang perkahwinan.
Dengan dua kali lafaz, Leya atau nama penuhnya Sharifah Aleya binti Syed Zainal Rashid sah menjadi isteri Mohammed Azam Abdullah atau lebih dikenali sebagai Miko di kalangan rakan-rakan.
Pasangan ini dinikahkan oleh Imam Masjid Al Mukarammah Sri Damansara, Ustaz Mat tepat jam 10 pagi dengan mas kahwin RM300. Leya menerima tiga dulang hantaran, dibalas lima dulang oleh pihak perempuan.
Perkenalan mereka bermula sejak sama-sama membuat persembahan teater muzikal Terima Kasih Cinta pada 2011. Usai teater, persahabatan mereka menyepi sehinggalah pertengahan 2012.
Anak kembar Leya, Aza Ameena dan Asha Ameena juga kelihatan tidak kekok dengan Miko, yang mereka gelarkan sebagai Papa.
Ditanya tentang perancangan selepas ini, Leya berkata majlis resepsi pihak lelaki akan diadakan di kampung halaman Miko di Kota Kinabalu sekitar Mac nanti.
Leya mula berkecimpung dalam bidang seni sejak berusia 12 tahun sebagai pengacara rancangan Golden Teen Stuff di TV2.
Beliau kemudian menerima pengiktirafan sebagai Pelakon Harapan di Anugerah Skrin 2003 menerusi lakonannya dalam filem Idola arahan Aziz M. Osman.
Langkah anak Fatimah Abu Bakar ini tidak terhenti setakat bidang pengacaraan dan lakonan sahaja.
Pemenang anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (FFM) menerusi watak Nurul Nadia dalam filem Trauma ini kemudian memulakan karier sebagai penyampai radio Hotfm sejak mula radio tersebut bersiaran pada 2006 sehingga kini.
"Tiada sebarang signifikan tarikh ini dipilih. Tapi, eh! Ada lagu 11 Januari. Eh! Hari ini juga ulangtahun Dato' Siti Nurhaliza!" ujar Leya yang sememangnya dikenali sebagai peminat tegar Dato' Siti Nurhaliza.
Ibu Leya, Fatimah Abu Bakar ketika ditemui berkata, dia berharap pasangan pengantin baru ini akan bahagia sehingga ke akhir hayat.
"Yang paling penting ialah kemesraannya pada cucu. Itu paling utama buat seorang nenek.
"Nasihat saya buat mereka sebagai suami isteri adalah sentiasa bersabar," tambahnya.
"Dalam kemarahan, kita kena zip mulut dulu. Mengucap dulu. Kirakan sampai 10 untuk redakan kemarahan. Tweet pun satu. Jangan! Tweet kena kira sampai 20!" ujarnya lagi dalam nada seloroh.
SUMBER