Rukun Haji Mengikut Mazhab Syafie | ALHAMDULILLAH, dalam ruangan kali ini, penulis akan membincangkan isu rukun haji mengikut mazhab Syafie. Antara kitab yang menjadi rujukan utama penulis ialah, Al-Fiqh Al-Manhaji hasil karya guru-guru kami iaitu, Syeikh Mustafa Khin, Syeikh Mustafa Bugha dan Ali Syarbaji.
Telah dinyatakan bahawa rukun ialah bahagian-bahagian yang asas bagi sesuatu ibadah.
Justeru, rukun haji merupakan amalan yang sekiranya ditinggalkan satu daripadanya, ibadah haji akan terbatal dan tidak boleh digantikan dengan sebarang kaffarah dan fidyah.
1. Ihram
Rukun ini berdasarkan hadis sahih, Nabi SAW bersabda: Haji itu ialah Arafah. Sesiapa yang datang ke Arafah pada malam perhimpunan sebelum fajar terbit, bererti dia dapat ibadah haji tersebut." (riwayat al-Tirmizi (898), al-Nasaie, Ibnu Majah, Imam Ahmad, Ibnu khuzaimah, al-Baihaqi, al-Daraqutni, al-Thayalisi dan Imam Malik dalam al-Muwatta)
Justeru, wukuf merupakan teras utama bagi seluruh amalan haji, seolah-olah ibadah haji itu semata-mata wukuf di Arafah. Arafah ialah nama sebuah bukit yang berbanjar, menghala ke Mina, kira-kira 25 kilometer ke tenggara Mekah.
2. Wukuf di Arafah
Syarat-syaratnya:
Pertama: Wukuf hendaklah dalam tempoh waktu Zuhur, hari yang ke-9 Zulhijah hingga terbit fajar pada Hari Raya Korban. Ini bererti, seseorang yang wukuf di Arafah sebelum atau selepas tempoh tersebut, hajinya tidak sah.
Dalam hal ini, memadai berada di Arafah seketika dari tempoh wukuf tersebut sama ada siang ataupun malam. Namun, afdal menghimpunkan kedua-dua bahagian siang dan malamnya. Justeru, sesiapa yang meninggalkan Arafah sebelum terbenam matahari, dia sunat menyembelih binatang ternakan sebagai dam disebabkan berlainan daripada perbuatan Rasulullah SAW.
Kedua: Wukuf di tempat yang dikehendaki di Arafah. Ia berdasarkan hadis Nabi SAW: Di sinilah aku berwukuf dan seluruh Arafah adalah tempat berwukuf. (riwayat Muslim (3011), Abu Daud, al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah)
Oleh itu, tidak memadai wukuf di `Urnah, yang bertentangan dengan sempadan Arafah, ditandai dengan batu-batu besar. Lakukan lah solat Maghrib dan Isyak secara jamak ta'khir di Muzdalifah semasa perjalanan balik ke Mina kerana ia perbuatan baginda SAW.
3. Tawaf Ifadhah
Ia berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Haj: 29. Begitu juga perbuatan Nabi SAW, sebagaimana yang tersebut dalam hadis Jabir r.a yang diriwayatkan oleh Muslim.
Syarat sah:
Pertama: Hendaklah mempunyai semua syarat, sebagaimana syarat sah sola. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW: Tawaf adalah sebagaimana solat kecuali Allah SWT membenarkan perbuatan berkata-kata ketika tawaf. Sesiapa bercakap, hendaklah bercakap dengan perkara yang baik-baik. (riwayat al-Tirmizi (975), Imam Ahmad, al-Nasaie dan al-Tabarani)
Kedua: Semasa tawaf, mana-mana bahagian badan, janganlah termasuk ke dalam sempadan Kaabah. Hendaklah tawaf di luar kawasan Hijr Ismail kerana ia juga termasuk kawasan Kaabah.
Ketiga: Dimulai dari Hajar Aswad dengan Kaabah berada di sebelah kiri badan. Sesiapa yang memulakan tawaf di belakang garisan Hajar Aswad ia belum dikira tawaf sehingga dia sampai ke garisan tersebut.
Keempat: Hendaklah menyempurnakan tawafnya sebanyak tujuh kali.
4. Saie di antara Bukit Safa dan Marwah
Safa dan Marwah merupakan dua buah bukit yang berhampiran dengan Kaabah, manakala saie di antara kedua-duanya bermaksud berjalan dari Safa ke Marwah dan sebaliknya sebanyak tujuh kali, iaitu dari Safa ke Marwah dikira sekali dan dari Marwah ke Safa dikira sekali dan begitulah seterusnya.
Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW. "Baginda menghadap kiblat untuk bersaie, lantas Baginda bersabda: Wahai manusia! Kerjakanlah saie." (riwayat al-Daraqutni (2613) dan al-Baihaqi)
Begitu juga, hadis daripada Jabir r.a yang diriwayatkan oleh Muslim tentang cara ibadah haji Nabi SAW. Antara kandungannya: Kemudian, Baginda keluar daripada pintu menuju ke arah Safa. Apabila hampir sampai ke sana, Baginda pun membaca firman Allah SWT yang bermaksud:
Sesungguhnya Safa dan Marwah itu ialah sebahagian daripada syiar (lambang) agama Allah. Baginda bersabda lagi: Aku mulai dengan sesuatu yang Allah memulakannya. Lalu Baginda naik ke atas bukit Safa, sehingga ternampak Kaabah. (riwayat Muslim (3009), Abu Daud, Ibn Majah, Ibnu Hibban, Abi Yala, al-Daraqutni, al-Baihaqi dan al-Darimi)
5. Bercukur
Pengertian bercukur merangkumi semua perbuatan memotong rambut. Ia termasuk menggunting tiga helai rambut atau lebih, mencabut atau memendekkannya walau sekadar mana dan dengan alat apa sekalipun. Ia merupakan rukun menurut pendapat yang sahih dalam Mazhab Syafie. Ini berdasarkan perbuatan Nabi SAW, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim dan yang lainnya.
Perhatian: Mereka yang tidak mempunyai rambut sunat melalukan pisau cukur di atas kepalanya.
6. Tertib
Sebahagian besar rukun ini mestilah dilakukan secara tertib, iaitu ihram, wukuf di Arafah, tawaf dan saie. Sementara bercukur boleh dilakukan selepas atau sebelum tawaf.
Persoalannya, adakah tertib rukun yang keenam ataupun syarat bagi cara melaksanakan rukun-rukun? Dalam hal ini, terdapat perbezaan pendapat dalam Mazhab Syafie - Utusan online